Tuesday, June 19, 2007

Majlis Pelancaran Perbadanan Putrajaya Online (PPjOnline) dan Pusat Setempat (OSC)

Untuk makluman, Perbadanan Putrajaya telah membangunkan beberapa aplikasi perkhidmatan atas talian (PPjOnline) yang meliputi perkhidmatan seperti e-Pemajuan, e-Aduan, e-Cukai, e-Kompaun, e-Lesen, e-Sewa, e-Tempahan, dan e-Perjawatan. Aplikasi perkhidmatan ini disediakan untuk memudahkan pelanggan Perbadanan Putrajaya melalukan transaksi tanpa perlu hadir ke Kompleks Perbadanan Putrajaya. Ini dapat menjimatkan masa, tenaga, dan dapat mempercepatkan sesuatu transaksi.

Selain daripada itu, Perbadanan Putrajaya juga telah melaksanakan Pusat Setempat (OSC) dengan membuka kaunter khas OSC bagi penerimaan kesemua permohonan berkaitan Kebenaran Merancang, Pelan Bangunan, Pelan Kerja Tanah, Pelan Landskap dan lain-lain yang berkaitan pada 16 April 2007. Penubuhan OSC adalah sejajar dengan konsep Kaunter Bersepadu yang juga menempatkan perkhidmatan seperti Kaunter Bayaran dan Kaunter Lesen Perniagaan.Sehubungan dengan itu, satu Majlis Pelancaran PPjOnline dan OSC akan diadakan pada ketetapan seperti berikut:

Tarikh/Hari : 21 Jun 2007 (Khamis)
Masa : 9.00 pagi - 12.00 tgh
Tempat : Dewan Persidangan Junior dan Kaunter OSC
Disempurnakan oleh : Y.B Dato' Zulhasnan bin Rafique,
Menteri Wilayah Persekutuan

Pelancaran 40 Komuniti BESTARI Wilayah Persekutuan



YB. Dato' Zulhasnan Rafique, Menteri Wilayah Persekutuan telah menyampaikan Watikah Komuniti BESTARI kepada 40 buah Komuniti BESTARI dari seluruh Wilayah Persekutuan. Majlis tersebut berlangsung di Legend Hotel, Kuala Lumpur pada 18 Jun 2007 (Isnin) jam 8.00 malam. En. Mahmud bin Jamaluddin sebagai Pengerusi, telah menerima Watikah Komuniti BESTARI Presint 16,Putrajaya pada majlis tersebut. Dengan penerimaan watikah tersebut, semua komuniti BESTARI yang berkenaan boleh merancang dan melaksanakan aktiviti secara rasmi.


Dalam amanatnya, YB. Menteri meminta semua Jawatankuasa Komuniti BESTARI melaksanakan tiga tugas pertama iaitu membuka Pusat IT, mengatur Program Sambutan Kemerdekaan dan Pelancaran Rakan COP di kawasan masing-masing. Peruntukan akan diberikan bagi pelaksanaan aktiviti tersebut.

Thursday, June 14, 2007

Komuniti BESTARI Presint 8 Putrajaya Johan Debat Merdeka 2007


Komuniti BESTARI Presint 8 Putrajaya dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Debat Merdeka Komuniti BESTARI 2007. Sebagai pasukan pencadang mereka telah berjaya mengatasi pasukan pembangkang yang diwakili oleh Komuniti BESTARI Kampung Malaysia Raya. Kedua-dua pasukan telah menampilkan kebolehan masing-masing dengan baik. Saudara Mohd Faizal Kamarudin dari Putrajaya diisytihar sebagai pendebat terbaik. Johan menerima RM3000.00 serta piala pusingan sementara Naib Johan membawa pulang RM2000.00. Pendebat terbaik turut menerima hadiah sebanyak RM500.00. Hadiah disampaikan oleh Dato' Haji Bakaruddin bin Hj. Othman, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan. Sebelum itu beliau merasmikan pertandingan debat.

KURSUS MANDI JENAZAH WANITA

Assalamualaikum
Untuk makluman, Pergerakan Wanita UMNO Cawangan Bunga Teratai Presint 16 Putrajaya akan menganjurkan Kursus Mandi Jenazah Wanita pada hari 17 Jun 2007 (ahad) di Surau Al-Raudhah. Semua kaum wanita adalah dijemput hadir bagi mengikuti kursus berkenaan.