Monday, November 5, 2007

Komuniti Bestari Bukan Pertubuhan Politik

KUCHING 15 Julai – Pusat Komuniti Bestari yang ditubuhkan di hampir setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bukan sebuah pertubuhan politik.Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata, Komuniti Bestari yang menggantikan program Kumpulan Pendengar, Penonton dan Pembaca (K3P), merupakan pertubuhan untuk semua kaum tanpa mengira perbezaan politik dan ideologi.“Pertubuhan itu merupakan gerakan massa yang bertujuan menyatupadukan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas penyampaian watikah penubuhan Komuniti Bestari peringkat negeri Sarawak di sini, hari ini.Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pemimpin Komuniti Bestari supaya memastikan semua lapisan masyarakat menyertainya dan tidak mengehadkan penyertaan kepada ahli keluarga dan rakan dari parti politik yang disokong oleh mereka sahaja.Beliau berkata, ia penting kerana kerajaan mahu memastikan Komuniti Bestari menjadi pemangkin dalam penyertaan pelbagai kaum di bawah satu bumbung.Katanya, ia selaras dengan usaha untuk memastikan semua maklumat kerajaan sampai kepada rakyat menerusi Komuniti Bestari.“Kita dapati ada golongan yang membenci kerajaan bukan kerana bencikan pemimpin negara tetapi membenci pemimpin tempatan.“Untuk itu, Komuniti Bestari diharap dapat menjadi satu gerakan untuk kita tidak membenci sesiapa, satu tempat yang menyatukan seluruh kaum,” katanya.Mengenai Komuniti di Sarawak, Ahmad Zahid berkata, sehingga kini terdapat 144 gerakan itu di Sarawak, iaitu dua komuniti di setiap DUN.